Isnin, Februari 29, 2016

KESATUAN SEKERJA: HAK DAN TUNTUTAN

Sejarah penubuhan kesatuan sekerja bermula di Britain hasil daripada perkembangan pesat pembukaan kilang dalam pelbagai bidang dan cabang industri. Kesatuan sekerja mula mendapat hak pada tahun 1915 seterusnya menjadi ikutan di seluruh dunia sehingga kini.

Di Malaysia, MTUC ditubuhkan pada tahun 1957 untuk melindungi dan meningkatkan kualiti kehidupan. 


DEFINISI KESATUAN SEKERJA

Seksyen 2(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang bermaksud seperti berikut:

"…apa-apa perhubungan atau gabungan pekerja-pekerja atau majikan-majikan yang menjadi pekerja di mana tempat pekerjanya adalah di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak mengikut mana yang berkenaan."

a) dalam mana-mana pertubuhan, trend, pekerjaan atau industri yang tertentu atau dalam apa-apa    industri yang serupa;
b) sama ada secara sementara atau tetap; dan
c) yang mempunyai antara tujuan-tujuannya satu atau lebih daripada tujuan-tujuan berikut…….”

Akta-akta yang berkaitan pula ialah:

1. Perkara 10(1)(c) Perlembangaan Persekutuan menjamin hak warganegara untuk menyertai persatuan.

2. Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967 seksyen 4 dan 5 yang memperuntukkan jaminan hak pekerja. Seksyen 4 menjamin kebebasan kedua belah pihak iaitu tidak boleh ada campur tangan atau ancaman daripada pihak yang satu lagi berhubung hak untuk menubuhkan atau menyertai atau terlibat dalam aktiviti kesatuan pekerja. Seksyen 5(1)(a), 5(1)(b), 5(1)(c), 5(1)(d) dan 5(1)(e).


PERANAN KESATUAN SEKERJA

Kebajikan pekerja menjadi fokus kesatuan sekerja kerana banyak perkara yang melibatkan pekerja. Antaranya ialah:

1. perubahan struktur pekerjaan, terma dan keadaan pekerjaan.

2. pembangunan sumber manusia.

3. mobiliti antara kerja secara mendatar dan menegak.

4. kesihatan dan keselamatan pekerja.

5. kualiti kehidupan pekerja dan keselamatan sosial (PERKESO) 


Balakrishnan (2003) menyatakan fokus kesatuan sekerja adalah seperti berikut:

-Memperluas ruang antara pembahagian pendapatan dengan kekayaan dalam masyarakat
-Memperkembang sektor informal dalam pasaran buruh
-Kemerosotan keselamatan dalam sistem pekerjaan, upah benar dan faedah minimum pekerja menurut kehendak undang-undang
-Isu pengangguran dan guna tenaga
-Peningkatan dari segi kadar kemiskinan
-Hilangnya ciri demokrasi dan juga hak kesatuan sekerja di tempat kerja
-Penswastaan tanpa mengambil kira kesan-kesan sosial terhadap golongan pekerja
-Peningkatan marginal pekerja terutamanya pekerja wanita, golongan pekerja asing dan peningkatan buruh kanak-kanak dalam pasaran buruh.

Peranan kesatuan sekerja adalah mengikut kesatuan masing-masing. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Awang Abdullah (2002), perjuangan MTUC adalah lebih tertumpu kepada:

a. hak gaji minimum
b. hak pekerja
c. pembangunan kemahiran dan buruh asing
d. piawaian keselamatan dan kesihatan pekerja
e. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja


FUNGSI KESATUAN SEKERJA

Kuasa pekerja yang dikumpulkan daripada individu memberi manfaat kepada setiap ahli dalam perundangan ekonomi, perundangan kerja, perubahan sosial dan kepuasan diri.

Kesatuan memberi balik tanggungjawab yang diamanahkan oleh individu dengan harapan setiap ahli mendapat apa yang dikehendaki.

Kenapa pula pekerja melibatkan diri dalam kesatuan sekerja?

Maimunah (2007) menyatakan tiga tujuan utama pekerja ingin melibatkan diri dalam kesatuan pekerja iaitu:


1. untuk membaiki keadaan ekonomi mereka
2. untuk menentukan hak mereka dilindungi
3. atas sebab-sebab sosial


MOTIF EKONOMI 

Ekonomi sentiasa menjadi dorongan di mana sahaja. Keadaan hidup yang lebih baik menjadi pilihan pekerja dan cara untuk mendapatkan apa yang diingini ialah dengan menyertai kesatuan sekerja yang ditubuhkan.

Melalui kesatuan, mereka dapat memperbaiki syarat-syarat perkhidmatan pekerjaan yang lebih baik dan memuaskan. Contohnya tuntutan kenaikan gaji oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) awal tahun yang lalu telah menyebabkan kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji baru kepada kakitangan kerajaan seluruh negara.

Meningkatkan kekuatan perundingan pekerja di mana pekerja mempunyai kuasa apabila bergabung dan kuasa untuk berunding dengan majikan berkaitan syarat-syarat pekerjaan yang lebih baik.

Mendapatkan faedah yang ditawarkan oleh majikan sepertimana MTUC yang menyediakan pendidikan kesatuan dan latihan, NUEB menyediakan perlindungan insuran, NUPW memberi biasiswa kepada anak-anak ahli dan NUPCIW menyediakan pampasan kepada keluarga ahli yang meninggal dunia, banjir, kebakaran atau mala petaka yang lain.

MOTIF SOSIAL

Hidup berkumpulan menjadikan setiap individu merasa diri mereka mendapat sokongan dan bantuan. Justeru, dalam kesatuan ini mereka juga mempunyai motif sosial iaitu:


a) Keperluan untuk dipunyai dalam kumpulan (teori hirarki keperluan)
Dalam kumpulan, hubungan yang rapat, minat dan keperluan sosial yang sama memberi semangat kepada pekerja untuk membina faedah yang lebih banyak seperti polisi insuran, pusat jagaan dan lain-lain faedah. Contohnya MTUC menyediakan faedah yang diberikan merupakan keperluan sosial yang diperlukan oleh pekerja.

b) Pengaruh rakan sejawat
Perlu beberapa ahli untuk mendapatkan pengiktirafan supaya dapat mendorong pekerja lain menyertai kesatuan bagi menyokong aktiviti rakan sejawat.

c) Memperlihatkan daya kepimpinan
Memberi peluang kepada pekerja mengamalkan sifat-sifat kepimpinan dalam hirarki kesatuan. Seterusnya dapat membantu rakan sejawat untuk membaiki syarat-syarat dan keadaan pekerjaan.


PERLINDUNGAN HAK

a) Diskriminasi, eksploitasi dan layanan yang tidak adil di tempat kerja
Contohnya kes yang berlaku di Sea Firebricks di mana pembayaran gaji yang berlainan berdasarkan gender untuk jumlah kerja yang sama, Di sini jelas terdapat layanan yang tidak adil berdasarkan gender pekerjanya.

b) Jaminan kerja – dari pembuangan atau pemecatan yang tidak adil
Menyertai kesatuan agar dapat melindungi pekerja dari segi jaminan kerja melalui kontrak kesatuan yang mengandungi peraturan-peraturan tegas berkenaan jaminan pekerja.

Terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi pekerja untuk menyertai kesatuan sekerja telah dijelaskan oleh Farnham dan Pimplott (1995) sebagai:


i) Pertukaran struktur di dalam corak pekerjaan kebangsaan (structural changes in the pattern of national employment)
ii) Pertumbuhan dan penurunan di dalam ekonomi nasional (growth and decline in the national economy)
iii) Politik, perundangan dan persekitaran sosial perusahaan perindustrian (political, legal and social climate of industrial relations)
iv) Imej kesatuan, tarikan dan pemimpin (trade union image, appeal and leadership)


KENAPA MAJIKAN MENGHALANG PENUBUHAN KESATUAN?

Walaupun kesatuan sekerja memberi banyak faedah kepada pekerja, ianya tidak membawa manfaat yang besar kepada majikan kerana meningkatkan kos tenaga buruh, pekerja yang tidak cekap diberikan perlindungan dan mengganggu perkhidmatan awam.

Contohnya syarikat makanan segera, McDonalds. R. Queenland (eksekutif dan pengurus) menyatakan bahawa implikasi pertama berurusan dengan kesatuan sekerja ialah peningkatan kos gaji dan lain-lain faedah sampingan. Justeru ini membebankan majikan untuk jangka masa panjang. 


TINDAK BALAS MAJIKAN TERHADAP KESATUAN

Kesatuan sekerja dilihat daripada perspektif positif dan negatif oleh majikan. Biasanya, kekuatan kesatuan sekerja ialah berjaya dalam konflik yang dibuat secara terbuka dengan majikan seperti yang berlaku di Perancis iaitu mogok pekerja kereta api. Selagi permintaan mereka tidak ditunaikan oleh majikan, mogok akan diteruskan. Apabila kerajaan bersetuju dengan beberapa tuntutan kesatuan, para pekerja kembali bekerja dan perkhidmatan pengangkutan awam kereta api pulih seperti sedia kala.

Pertelingkahan secara terbuka tetapi terkawal dapat mengurangkan tempoh konflik kerana kedua-dua pihak, pekerja dan majikan dapat mengawal keadaan.

Apabila Cuepacs memohon bonus diberikan kepada kakitangan kerajaan tetapi tidak dapat, Cuepacs masih cuba mencari penyelesaiannya.

Permintaan kesatuan sekerja bagi sesuatu isu kadang kala diterima dengan senang hati. Apabila majikan mendapati prestasi organisasi sangat memberangsangkan, mereka memikirkan bentuk penghargaan yang boleh diberikan kepada pekerja. Biasanya kesatuan sekerja memohon kenaikan gaji, bonus atau kebajikan pekerja yang lebih baik. Jika permintaan berpatutan, majikan akan tunaikannya dengan mudah.

Suasana yang lebih mudah ialah wujud kerjasama di antara kesatuan sekerja dan majikan. Kerjasama ini pasti membantu pekerja dan majikan meningkatkan kualiti dan produktiviti masing-masing. Kedua-dua pihak mendapat manfaat yang berkekalan.

CARA MAJIKAN MENGHALANG KESATUAN

Di sesetengah negara, majikan akan mencari jalan menghalang kesatuan sekerja bertindak kerana imej yang dibawa kesatuan sekerja membawa trauma kepada majikan.

Keadaan ini amat mencemaskan jika kesatuan sekerja merancang mengadakan demonstrasi atau mogok. Ini kerana satu sebab: mencemarkan imej majikan seterusnya menjejaskan produktiviti organisasi. Jadi, bagi mengelakkan kesatuan sekerja "naik kepala" dengan membuat tuntutan yang melampau, ada beberapa cara yang digunakan oleh majikan seperti:


-bayar gaji dan faedah lebih baik
-libatkan pekerja dalam pembuatan keputusan, laksana polisi sistem terbuka secara efektif
-tawarkan latihan, pembangunan dan jaminan tempoh jawatan
-mengembangkan perasaan percaya dan setia dalam organisasi dengan cara pihak pengurusan mendapatkan maklum balas terhadap ketidakpuasan pekerja terhadap organisasi.


Contohnya kilang-kilang elektronik di Malaysia. Majikan berjaya mengelakkan pekerjanya mempunyai kesatuan selama 15 tahun. Langkah yang diambil oleh mereka ialah:

-bayaran gaji berpatutan
-khidmat nasihat kepada pekerja yang bermasalah
-keadaan tempat kerja yang selamat
-menjaga kebajikan pekerja seperti sambutan hari lahir
-tempat makanan yang bersih dan berhawa dingin
-sediakan pengangkutan percuma pergi dan balik

KESIMPULAN

Di bawah Dasar Pandang Ke Timur, kerajaan Malaysia menggalakkan kegiatan kesatuan sekerja dalaman. Ini kerana ia amat praktikal kerana golongan pekerja dan majikan dapat membuat sesuatu keputusan dengan segera demi meningkatkan produktiviti syarikat.

Elemen-elemen baru hubungan industri seperti kerja dalam pasukan, penglibatan pekerja, perkongsian keuntungan akan menjadi perhatian utama kesatuan sekerja dan majikan pada masa depan.

Sabtu, Februari 12, 2011

AKTA KERJA 1955

Adakah anda seorang pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja 1955?
Pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 ialah semua pekerja yang menerima gaji tidak melebihi RM1,500.00 sebulan dan juga semua pekerja tanpa had gaji. Jika anda seorang pekerja asing yang sah penggajiannya di negara ini, anda juga dilindungi oleh Akta Kerja 1955.

Apakah Kontrak Perkhidmatan?

Kontrak Perkhidmatan ialah satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil kerja seseorang pekerja dan pekerja itu bersetuju berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Kontrak tersebut boleh dibuat sama ada secara lisan atau bertulis. Bagi kontrak perkhidmatan yang khusus bagi suatu tempoh masa tertentu dan melebihi sebulan, ianya hendaklah dibuat secara bertulis. Terma atau syarat-syarat perkhidmatan mestilah bertulis dan diberi kepada semua pekerja pada atau sebelum pekerja tersebut mula bertugas. Terma-terma ini tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.

Apakah keadaan menyebabkan sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi?

Keadaan yang boleh membawa kepada sesuatu kontrak perkhidmatan tidak dipatuhi adalah jika:- Majikan gagal membayar gaji dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir bagi tempoh pembayaran upah. Pekerja yang tidak hadir kerja selama lebih daripada dua hari berturut-turut tanpa makluman atau kebenaran terlebih dahulu daripada majikannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan waktu kerja biasa?
“Waktu Kerja Biasa” ialah waktu kerja seperti yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan sebagai waktu-waktu kerja biasa dalam sehari. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi:
  1. 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat; atau,
  2. 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang-kurangnya 30 minit; atau
  3. 48 jam seminggu.
Atas persetujuan bersama, pekerja boleh bekerja 9 jam sehari tetapi tidak boleh melebihi 48 jam seminggu.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'kerja lebih masa' ?
Kerja lebih masa bermakna bilangan jam kerja yang dilakukan melebihi masa kerja normal sehari.

Berapakah kadar bayaran kepada pekerja yang bekerja lebih masa?
Kadar bayaran kerja lebih masa hendaklah sekurang-kurangnya seperti berikut:
Pada hari kerja biasa, 1 1/2 kali kadar gaji sejam.
Pada hari rehat, 2 kali kadar gaji sejam.
Pada hari cuti am, 3 kali kadar gaji sejam.

Adakah had jumlah jam kerja lebih masa yang boleh dilakukan oleh pekerja dalam sebulan?
Seseorang pekerja tidak boleh dikehendaki bekerja lebih masa melebihi 104 jam dalam sebulan.

Adakah wajib bagi kontrak perkhidmatan untuk menyatakan tempoh gaji?
Berapakah tempoh gaji yang sepatutnya?
Setiap kontrak perkhidmatan wajib menyatakan tempoh gaji yang tidak melebihi satu bulan. Sekiranya kontrak tersebut tidak menyatakan tempoh gaji tersebut, tempoh tersebut akan dikira sebagai sebulan.

Bilakah gaji harus dibayar kepada pekerja-pekerja?
Gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) dibayar tidak lewat dari hari ketujuh selepas tamat tempoh pembayaran gaji. Majikan boleh memohon melanjutkan masa pembayaran gaji daripada Ketua Pengarah Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia.

Bilakah gaji patut dibayar kepada pekerja apabila sesuatu kontrak perkhidmatan telah tamat tempohnya?
Gaji patut dibayar kepada pekerja tidak lewat daripada hari penamatan kontrak.

Bilakah gaji harus dibayar jika pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1) atau (2) atau Seksyen 14(3) Akta?
Dalam situasi bila mana pekerja telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis, gaji (selepas dibuat potongan-potongan seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang) hendaklah dibayar tidak lewat dari hari ketiga selepas kontrak ditamatkan.

Bilakah gaji harus dibayar jika majikan telah menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 13(1, (2) atau 14(1) Akta?
Gaji patut dibayar kepada pekerja sebaik sahaja kontrak ditamatkan.

Adakah sah dari segi undang-undang bagi majikan yang membuat potongan dari gaji pekerjanya?

Majikan boleh membuat potongan dari gaji pekerjanya tanpa kebenaran pekerjanya dalam bentuk-bentuk berikut:-
  • Terlebih bayar dengan tidak sengaja dalam masa tiga bulan terdekat dari tempoh bulan pengurangan itu dibuat;
  • Indemniti kepada majikan oleh pekerja di bawah Seksyen 13(1);
  • Pendahuluan gaji tanpa sebarang faedah yang dikenakan kepada pendahuluan gaji tersebut;
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sumbangan keselamatan sosial, cukai pendapatan serta lain-lain perkara yang dibenarkan oleh undang-undang.
Apakah jenis pekerjaan yang mana wanita dilarang melakukannya di bawah Akta?
Jenis pekerjaan di mana seseorang wanita dilarang melakukannya adalah seperti berikut:
i. Kerja bawah tanah;
ii.Bekerja di sektor perusahaan/pertanian di antara pukul 10.00 mlm sehingga 5.00 pagi tanpa pengecualian daripada Ketua Pengarah Buruh.

Secara amnya, apakah faedah-faedah bersalin yang diberikan kepada pekerja-pekerja wanita di bawah Akta?

Secara amnya, setiap pekerja wanita adalah layak untuk mendapat cuti bersalin untuk tempoh masa tidak kurang dari 60 hari berturut-turut (tempoh masa yang diperuntukkan) dan elaun bersalin adalah tertakluk kepada tempoh kelayakan.

Bilakah sepatutnya cuti bersalin bermula?

Cuti bersalin boleh bermula dalam tempoh tiga puluh hari sebelum bersalin.

Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum pekerja layak mendapat elaun bersalin?
Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:-
i. mempunyai kurang daripada lima orang anak yang hidup.
ii. mesti bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin.

Bagaimanakah elaun bersalin dikira?
Elaun bersalin adalah berdasarkan gaji bulanan jika pekerja dibayar gaji mengikut kadar bulanan yang diterima. Elaun bersalin boleh juga dibayar mengikut kadar upah biasa harian atau mengikut kadar RM6.00 sehari, yang mana lebih tinggi untuk tempoh 60 hari berturut-turut.

Bilakah elaun bersalin harus dibayar?
Elaun bersalin hendaklah dibayar sebagaimana pembayaran gaji seolah-olah elaun itu adalah gaji dan hendaklah dibayar tidak lewat daripada hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji.

Berapakah kelayakan cuti sakit seseorang pekerja dalam setahun?
Kelayakan cuti sakit bergaji adalah seperti berikut:
  • Kurang dari 2 tahun perkhidmatan - 14 hari dalam setahun kalendar.
  • lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun - 18 hari dalam setahun kalendar.
  • 5 tahun dan lebih - 22 hari dalam setahun kalendar.
Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat cuti sakit?
Pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji bagi tempoh di mana pekerja berhak mendapat elaun bersalin atau menerima pampasan bagi ketidakupayaan di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Berapa lamakah tempoh notis penamatan kontrak perkhidmatan yang perlu majikan dan pekerja berikan?

Sekiranya kontrak perkhidmatan tidak menetapkan tempoh notis, tempoh notis hendaklah seperti berikut:
  • 4 minggu notis – jika bekerja kurang daripada dua tahun;
  • 6 minggu notis – jika bekerja 2 tahun atau lebih tetapi kurang daripada 5 tahun;
  • 8 minggu notis – jika bekerja 5 tahun atau lebih.
Adakah boleh bagi majikan atau pekerja menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis?
Majikan atau pekerja boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis dalam keadaan berikut:- Dengan membayar indemniti ganti notis. Sekiranya berlaku apa-apa perlanggaran yang disengajakan terhadap syarat-syarat kontrak perkhidmatan.


Apakah peraturan yang memperuntukkan kelayakan Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara (Termination and Lay-off benefits) yang diliputi di bawah Akta ini?
Peraturan-peraturan Kerja (Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980

Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat faedah pemberhentian kerja?
Seseorang pekerja tidak layak menerima faedah penamatan kerja dan rentikerja sentara dalam keadaan-keadaan berikut:- bekerja kurang daripada 12 bulan sebelum tarikh penamatan. kontrak perkhidmatan telah diperbaharui atau kontraknya disambung semula dengan syarat-syarat perkhidmatan yang tidak kurang faedahnya daripada syarat-syarat dahulu. sekiranya majikan telah memberi notis penyambungan kontrak sebelum 7 hari daripada kontrak ditamatkan dengan syarat-syarat perkhidmatan tidak kurang faedahnya. Selepas menerima notis penamatan, pekerja meninggalkan tempat kerja tanpa persetujuan majikan atau membayar bayaran ganti notis.

Berapakah kadar bayaran faedah penamatan kerja?

Pekerja layak mendapat bayaran faedah penamatan kerja tidak kurang daripada:-
  • bekerja lebih daripada setahun tetapi kurang daripada dua tahun - 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
  • lebih dua tahun tetapi kurang lima tahun - 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
  • lima tahun dan lebih - 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
Bilakah sepatutnya bayaran faedah penamatan kerja dibuat?
Bayaran faedah penamatan kerja perlu dibayar dalam masa 7 hari selepas penamatan.


Sabtu, Julai 31, 2010

MTUC mahu umur bersara swasta dilanjutkan ke 60 tahun

Berita Harian

PETALING JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sekali lagi meminta kerajaan supaya menetapkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi.

Tanpa undang-undang khusus, sektor swasta tidak akan memberi sambutan terhadap syor melanjutkan usia tersebut kerana sektor swasta lebih melihat kepada faktor keuntungan, kata Setiausaha Agung MTUC, G Rajasegaran hari ini, ketika mengulas laporan media mengenai kemungkinan kerajaan meningkatkan umur persaraan sektor awam dari 58 kepada 60 tahun.

Beliau berkata, sektor swasta tidak mengikuti langkah kerajaan dan pada masa ini umur persaraan bagi pekerja sektor swasta adalah 55 tahun bagi lelaki dan 45 tahun bagi perempuan.

“Memandangkan pekerja sektor swasta tidak menikmati faedah pencen, jumlah wang simpanan KWSP yang tinggi sudah tentu dapat membantu mereka menghadapi hari tua,” katanya.

Industri juga akan dapat manfaat dari pekerja yang berpengalaman kerana mereka akan menyumbang untuk meningkatkan produktiviti, kata Rajasegaran.

Menurutnya 100,000 pekerja dalam kedua-dua sektor, awam dan swasta bersara setiap tahun.

Rajasegaran berkata, satu lagi faedah apabila umur persaraan dilanjutkan adalah pihak industri boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pada masa ini, apabila pekerja tempatan bersara, pihak pengurusan akan mengambil pekerja asing dan dibayar gaji yang murah sebagai ganti, katanya.



TGSU
KESATUAN KAKITANGAN AM KOLEJ TUNKU ABDUL RAHMAN (tarc)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails