Jumaat, September 26, 2008

Harga barang perlu turun seperti minyak

KUALA LUMPUR - Ketika kerajaan prihatin dengan mengotakan janji untuk menurunkan harga minyak selaras dengan penurunan harga di pasaran dunia, komitmen yang sama juga diharapkan dapat dilakukan oleh golongan peniaga untuk menurunkan harga barangan.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendakwa, setakat ini belum ada petanda bahawa harga barang akan diturunkan walaupun harga minyak telah diturunkan.

Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, penurunan harga petrol yang sedikit itu tidak memberi kesan langsung terhadap kos barangan lain, untuk itu FOMCA bercadang untuk mengadakan kempen penurunan harga barang tidak lama lagi dalam usaha meringankan beban pengguna terutama menjelang musim perayaan.

“Melalui kempen itu, FOMCA akan menyarankan kepada peniaga agar mengurangkan harga barangan terutama pada musim perayaan. Peniaga tidak perlulah mengaut keuntungan yang besar, kita sama-sama tanggung kesan penurunan harga minyak ini,” katanya.

Penaung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma’amor Osman pula berkata, kempen penurunan harga barang boleh dibuat namun beliau tidak yakin akan kejayaannya.

“Undang-undang pun mereka tidak endah (inikan pula kempen),” katanya yang juga tidak menjangkakan akan berlaku penurunan harga barang dalam pasaran.

Di Kuantan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, rakyat kena bersyukur dan kita kena cari jalan, sebab gaji naik barang naik, minyak naik barang naik, minyak turun barang tak turun.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bekerjasama bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang ekoran daripada kenaikan harga minyak sebelum ini.

Di Sandakan, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, penurunan harga petrol dan diesel membuktikan kerajaan mengotakan janji yang diberikan kepada rakyat.

Katanya, dengan penurunan harga petrol dan diesel semalam, golongan peniaga diharap tidak lagi menaikkan harga barang makanan dan keperluan bagi meringankan beban pengguna.

Di Kota Bharu, Pengarah Kastam Kelantan, Azis Yacub menjangkakan kes penyeludupan minyak petrol dan diesel akan meningkat dan pihaknya akan melakukan pemantauan yang lebih di beberapa kawasan berhampiran sempadan Thailand termasuk di Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan Pengkalan Kubor.

“Kes penyeludupan sentiasa berlaku terutama di kawasan sempadan, bagaimanapun apabila harga minyak diumumkan turun, kes berkenaan dijangka meningkat. Dalam jangka masa kini kawasan-kawasan berkenaan boleh dianggap ‘panas’ dan memerlukan pemantauan yang lebih berbanding kebiasaannya,” katanya.

Di Rantau Panjang, penurunan harga minyak dianggap baik bagi pemilik kenderaan dari Thailand yang berulang-alik ke negara ini .

“Setiap hari saya ke Rantau Panjang untuk beli minyak diesel kenderaan saya, jadi peluang yang ada untuk saya beli di Malaysia itu sangat baik kerana boleh mengurangkan belanja beli minyak setiap hari,” kata seorang warga Thailand, Mahasae Ome, 46.- BERNAMA


TGSU
KESATUAN KAKITANGAN AM KOLEJ TUNKU ABDUL RAHMAN (tarc)

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails